RM6.3 juta telah dibelanjakan untuk saringan warga asing, tiada cas dikenakan sebaliknya segala kos ditanggung kerajaan

Kerajaan sudah membelanjakan sekurang-kurangnya RM6.3 juta untuk melakukan saringan Covid-19 kepada 21,271 warga asing sepanjang penularan pandemik itu di negara ini.

Ia berdasarkan anggaran kos RM300 bagi setiap seorang yang menjalani saringan termasuk swab test atau calitan tekak untuk sekali saringan.

Sekiranya saringan dijalankan lebih daripada sekali, kos yang ditanggung untuk warga asing berkenaan menjadi lebih tinggi, malah ia belum dikira dengan pembiayaan bagi rawatan.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 21,271 bukan warga negara sudah disaring pihaknya setakat ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 811 kes dikesan positif Covid-19 atau bersamaan 3.8 peratus.

“Warga asing yang masih dalam rawatan seramai 376 orang iaitu 46.4 peratus, sembuh (bukan warganegara) 432 atau 53.1 peratus.

“Ada empat kem4tian iaitu 0.5 peratus membabitkan warga asing daripada jumlah keseluruhan kes direkodkan di Malaysia,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah warga asing sudah disaring Covid-19 dan kos terpaksa ditanggung kerajaan untuk melaksanakan proses saringan itu.

Mengulas lanjut, katanya, anggaran kos bagi proses saringan berkenaan adalah antara RM200 hingga RM300 untuk setiap seorang.

Katanya, individu yang menjalani saringan di pusat perubatan dan hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dikenakan bayaran sebaliknya kos itu ditanggung kerajaan.

‘Usah caj saringan terlalu mahal’

MUHYIDDIN ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

PUSAT perubatan dan klinik swasta diingatkan supaya tidak mengenakan harga tinggi kepada pesakit untuk menjalani saringan Covid-19 di premis masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini kerajaan tidak mengawal kos saringan di sektor perubatan swasta kerana beliau difahamkan kos untuk saringan Covid-19 di hospital kerajaan bernilai RM700 setiap seorang, yang ditanggung kerajaan.

“Kalau swasta mereka terpaksa menentukan kadar berpatutan. Saya kira kalau RM500 atau RM600 kalau ikut kadar pasaran ia berpatutan.

“Jangan ada sampai RM1,000 atau lebih daripada itu. Itu membebankan. Saya yakin pihak hospital ada tanggungjawab sosial mereka untuk membantu supaya dalam keadaan darurat dan kesulitan yang kita hadapi, mereka tidak menambah beban dengan mengenakan kos terlalu tinggi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, warga asing di negara ini diminta melakukan saringan Covid-19 bagi mengetahui tahap kesihatan mereka.

Covid-19: Buat saringan di hospital swasta jika mampu - Selangorkini

Beliau berkata, walaupun warga asing tetap dikenakan caj jika menjalani ujian saringan di hospital kerajaan, apa yang penting adalah soal keselamatan mereka dan warga Malaysia selain menghindarkan mereka daripada bahaya penyakit itu.

“Walaupun mereka pekerja asing terutama diambil majikan, saya minta majikan memberi nasihat kepada mereka terutama yang tinggal di tempat tinggal disediakan majikan.

“Mereka harus pergi untuk dapatkan rawatan jika perlu dan kalau tidak tinggal di kediaman masing-masing sampai Perintah Kawalan Pergerakan ini ditamatkan. Itu yang penting,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju mengagihkan topeng muka kepada rakyat secara percuma sebagai sumbangan kerajaan dalam menghadapi krisis Covid-19 .

“Kerajaan mengambil keputusan mengimport topeng muka dari China iaitu kira-kira 10 juta keping.

“Semalam saya sudah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menggunakan peruntukan disediakan kerajaan untuk membawa masuk bekalan itu.

“Saya difahamkan, harga sekeping adalah RM1.18 dan saya ingin mengumumkan topeng terbabit akan diagihkan secara percuma kepada rakyat selepas bekalan (topeng) diterima,” katanya.

 

Sumber: Hmetro

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Be the first to comment on "RM6.3 juta telah dibelanjakan untuk saringan warga asing, tiada cas dikenakan sebaliknya segala kos ditanggung kerajaan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*