Lama Pasang Angan-Angan, Kaka Azraff Nak Cuba ‘Market’ Indonesia – “Itu Impian Saya Sejak Dulu”

HAMPIR 10 tahun berada dalam industri muzik tanah air, penyanyi Kaka Azraff berkata dia sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk melebarkan sayap nyanyian ke negara seberang, Indonesia.

Semangat itu semakin memuncak selepas gandingannya bersama penyanyi Indonesia, Jaz Hayat menerusi lagu Karma menerima sambutan hebat pendengar.

Menurut Kaka atau nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 31, dia sentiasa terbuka mengenai tawaran dan peluang mengembangkan bakat nyanyian di negara luar.

“Sebenarnya dah lama saya impikan untuk ke pasaran Indonesia… bersyukur dapat bekerjasama dengan Jaz dalam lagu ini.

“Saya terbuka untuk melangkah lebih jauh di sana, kalau ada rezeki dapat bekerjasama dengan artis dan komposer lain, memang saya suka dan tidak menolak.

Lagu nyanyian Kaka bersama artis seberang, Jaz Hayat berjudul Karma terima maklum balas positif pendengar.

“Ini kerana industri muzik di sana lebih besar dan itu merupakan impian saya sejak dahulu lagi,” katanya kepada mStar.

Kaka berkongsi mengenai impiannya itu semasa sidang media secara maya mempromosikan lagu terbaharunya bersama Jaz Hayat berjudul Karma.

 

Menjelang 10 tahun pembabitan dalam industri seni tahun depan, saya memang teringin untuk keluarkan sebuah album!

KAKA AZRAFF

PENYANYI

Karma merupakan lagu ciptaan komposer Farouk Roman dan lirik oleh Aisha Retno diangkat menjadi runut bunyi (OST) untuk drama Takdir Yang Tertulis.

Video muzik (MV) lagu tersebut boleh didengar di semua platform digital dan YouTube Sony Music Malaysia.

Sedekad berada dalam industri, Kaka juga meletakkan impian untuk muncul dengan album sulung sebagai hadiah untuk peminat yang tidak jemu menyokong karier seninya.

Kaka ada beberapa perancangan sempena 10 tahun dalam industri.

“Ya, daripada awal pembabitan, saya tidak pernah tampil dengan album. Hanya single demi single sama ada solo atau duet bersama penyanyi lain. Jadi menjelang 10 tahun pembabitan dalam industri seni tahun depan, saya memang teringin untuk keluarkan sebuah album.

“Banyak juga perancangan lain yang saya sudah rencanakan, tetapi agak sukar untuk diperincikan buat masa sekarang.

“Bagaimanapun besar harapan saya untuk keluar dengan sebuah album tahun depan, sebagai ulang tahun pembabitan saya dalam industri dan menjadi hadiah buat peminat yang setia menyokong karier saya,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber: mStar

Be the first to comment on "Lama Pasang Angan-Angan, Kaka Azraff Nak Cuba ‘Market’ Indonesia – “Itu Impian Saya Sejak Dulu”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*