Dr Noor Hisham terima gelang tangan dari kanak2 ini, rupanya warna gelang itu ada maksud sendiri

CEKAP, tenang, teliti dan sedaya upaya memberikan maklumat yang telus berkaitan situasi terkini wabak Covid-19 di negara ini membuatkan beliau menjadi tokoh yang paling dikagumi ketika ini.

Bukan sahaja mendapat perhatian dalam kalangan orang dewasa, malahan keperibadiannya turut mencuri tumpuan kanak-kanak.

Itulah keistimewaan figura ini – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehinggakan seorang kanak-kanak mengambil keputusan untuk mengutuskan sepucuk surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu.

Surat tulisan tangan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bernama Lara Khadijah McAfee itu bagi menyampaikan rasa kagum dan terima kasihnya di atas usaha yang dilakukan oleh pasukan Dr Noor Hisham dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia ketika berdepan dengan penularan wabak berbahaya itu.

“Salam Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Nama saya Lara Khadijah McAfee dan saya tinggal di Kuala Terengganu. Saya sekarang berada di Grade ke-3. Saya pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman.

“Saya buatkan seutas gelang tali (loom band) untuk dipakai oleh rakan saya sebagai tanda persahabatan. Saya buatkan gelang berwarna biru ini untuk anda sebagai tanda terima kasih di atas semua usaha yang anda lakukan untuk membantu rakyat Malaysia agar sentiasa dalam keadaan sihat dan selamat ketika penularan virus. Jaga kesihatan, rakan anda Lara,” demikian isi kandungan surat yang ditulis oleh gadis kecil kacukan Melayu-Kanada itu.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, ibu kepada kanak-kanak tersebut, Mutiara Jusuf McAfee, 46, berkata dia sama sekali tidak menyangka surat yang ditulis oleh anak perempuannya itu menjadi tular, malah turut mendapat perhatian daripada Dr Noor Hisham sendiri.

“Sebetulnya surat itu dihantar pada 19 Mac lalu, dan ketika itu kerajaan sudah kuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin pejabat pun banyak yang tutup, jadi ia tiba sedikit lewat.

“Namun petang semalam (Khamis) kami menerima panggilan telefon daripada pejabat beliau (Dr Noor Hisham) untuk meminta alamat rumah kami kerana nak pos surat balasan. Namun tak sangka ia viral begitu cepat sekali,” katanya kepada mStar.

Bercerita lebih lanjut, wanita itu berkata dia sememangnya suka menggalakkan anak-anaknya menulis untuk meluahkan perasaan mereka atau menyampaikan apa jua pandangan.

“Mereka pun memang suka menulis. Jadi saya kata kepada Lara, mengapa tidak dia menulis surat untuk Dr Noor Hisham untuk menyatakan penghargaan kepadanya. Dia pun teruja dan tugas saya hanya guide sahaja. Selebihnya, semua yang diluahkan itu adalah dari isi hatinya.

“Dia juga suka buat gelang tali atau loom band. Jadi saya kata, apa salahnya buat seutas untuk Dr Noor Hisham. Dia pun buat mengikut ukuran tangan bapanya. Pemilihan warna pula ada maksud, ia berdasarkan warna yang melambangkan health care menerusi carian sendiri di internet,” kata pekerja di sektor swasta itu yang kini menetap di Kuala Terengganu sejak awal 1990-an.

Malah katanya, dia sama sekali tidak menyangka surat yang ditulis oleh anaknya itu mendapat perhatian yang sungguh istimewa daripada Dr Noor Hisham.

“Cara beliau balas itu sungguh menyentuh hati kami. Sungguh merendah diri dan sangat personal. Malah siap tulis ‘dari kawan baharu anda’. Kami sangat-sangat terharu.

“Lara pula bila diberitahu mengenai perkara ini, dia sangat teruja. Tapi sempat juga dia risau sama ada gelang tersebut muat dipakai oleh cucu Dr Noor Hisham,” ujarnya sambil memberitahu, keluarganya menerima surat itu menerusi mesej di aplikasi WhatsApp pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mutiara berkata pihaknya mahu mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Dr Noor Hisham dan seluruh pasukan perubatan yang bertungkus lumus sehingga meletakkan risiko nyawa sendiri untuk keselamatan rakyat Malaysia.

Menerusi surat yang dibalas kepada Lara, Dr Noor Hisham antara lainnya menyatakan bahawa apa yang dilakukan ketika ini bukanlah atas usahanya sendiri, namun kerana dikelilingi oleh pasukan yang hebat.

Sambil mengucapkan terima kasih di atas pemberian gelang tali tersebut, Dr Noor Hisham juga berkata satu hari kelak, mungkin giliran kanak-kanak kecil itu mengambil alih tugas untuk menyumbang kepada Malaysia.

Posting tersebut yang turut dimuat naik oleh abang kanak-kanak tersebut di Twitter sehingga kini meraih 20,000 retweet dan 19,300 tanda suka.

Sumber Mstar

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Be the first to comment on "Dr Noor Hisham terima gelang tangan dari kanak2 ini, rupanya warna gelang itu ada maksud sendiri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*